Terdapat pelbagai istilah yang digunakan untuk merujuk golongan yang mengalami masalah pendengaran. Istilah-istilah yang sering digunakan ialah pekak dan bisu, cacat pendengaran, kurang pendengaran, tuli, kurang upaya pendengaran, pekak badak dan tuna pendengaran. Penggunaan istilah yang berbeza-beza ini telah menimbulkan kekeliruan kepada pelbagai pihak khususnya masyarakat. Walau bagaimanapun, istilah-istilah tersebut merujuk kepada kumpulan kanak-kanak atau pelajar-pelajar yang sama iaitu mereka yang bermasalah pendengaran.
Masalah pendengaran sebagaimana yang didefinisikan oleh Akta Pendidikan Individu dengan Ketidakupayaan (Individuals with Disabilities Education Act, IDEA) bererti "masalah pendengaran yang sangat teruk sehingga kanak-kanak tidak berupaya memproses maklumat linguistik menerusi pendengaran sama ada dengan amplifikasi atau tidak yang seterusnya mengganggu pencapaian pendidikannya". Seseorang yang mengalami masalah pendengaran secara amnya akan menggunakan alat bantu pendengaran dan mempunyai sisa pendengaran yang mencukupi untuk membolehkannya berjaya memproses maklumat linguistik menerusi pendengaran. (Brill, MacNeil & Newman, 1986)
dBHL Kategori
20 dBHL ke bawah Biasa ( normal )
21 - 45 dBHL Ringan ( mild )
46 - 70 dBHL Sederhana (moderate)
71 - 90 dBHL Teruk ( Severe )
91 dBHL ke atas Sangat Teruk ( Profound )